Sunday 3 April 2011

Karangan Tingkatan 6

Karangan Tingkatan 6 - Isu Pemanasan Global

Karangan ini telah disediakan oleh saudari Munirah bt. Ali Mohamed daripada Kelas 6 Atas 2, SMK. Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.


Punca-Punca Pemanasan Global

Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang banyak berlaku pada masa ini. Keadaan ini sudah berubah jika dibandingkan dengan suatu masa dahulu iaitu udaranya lebih nyaman serta keadaan cuaca yang tidak terlalu panas. Perkara ini membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi pada masa kini yang terlalu panas telah memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia dan juga alam sekitar. Hal ini diibaratkan seperti manusia hidup di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal yang demikian, masyarakat seharusnya tahu punca-punca yang menyebabkan pemanasan global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.

     Terdapat banyak punca yang menyebabkan pemanasan global, antaranya perkara itu disebabkan oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal di dunia ini. Hal ini demikian kerana, perkara yang sering kita lihat yang melibatkan aktiviti manusia seperti penerokaan hutan dan pertanian pindah. Mereka membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk dijadikan sebagai baja organik dan mereka membuka pula pertanian baharu di kawasan lain untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu, secara tidak langsung pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di udara dan akhirnya menyebabkan suhu semakin panas.

     Selain itu, faktor lain yang menyebabkan berlakunya pemanasan global ialah pembebasan gas-gas yang berbahaya secara tidak terkawal. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika Syarikat telah disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia dengan jumlah 60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab utama pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan minyak petrol dan pembakaran arang batu. Oleh hal yang demikian, pihak yang terlibat secara langsung dalam kes tersebut wajar melakukan anjakan paradigma dan menyembuhkan luka yang dialami oleh bumi ini. Masyarakat juga harus mengatasi masalah ini sebelum ‘nasi menjadi bubur’.

     Di samping itu, kegiatan perindustrian turut menjadi faktor pemanasan global berlaku. Hal ini demikian kerana, kegiatan perindustrian yang pesat membangun akan menghasilkan gas-gas berbahaya seperti karbon monoksida. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun 2030. Oleh itu, masyarakat janganlah mengamalkan peribahasa “Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Oleh hal yang demikian, mereka seharusnya mencegah perkara-perkara negatif sebelum berlaku selaras dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

     Pembakaran terbuka juga menjadi punca berlakunya pemanasan global di muka bumi kita ini. Banyak pembakaran terbuka yang telah dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Kesan daripada kegiatan tersebut menyebabkan gas karbon dioksida terhasil serta terbebas di udara dan seterusnya memerangkap haba. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan seharusnya memperketat undang-undang agar mereka tidak berani membuat sebarang kesalahan di muka bumi ini. Rentetan daripada perkara itu, masalah jerebu yang sering melanda dunia juga akan berkurangan. Kita seharusnya sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, iaitu sebelum keadaan bumi kita ini menjadi lebih melarat lagi.

     Namun begitu, masih terdapat faktor lain yang menjadi penyebab kepada pemanasan global seperti pembinaan bangunan pencakar langit. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada muka bumi kita ini. Hal ini demikian kerana, pantulan daripada matahari yang menembusi cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera. Dengan cara ini, masyarakat seharusnya janganlah mengambil mudah seperti melepaskan batuk di tangga, dengan mengejar segala arus pembangunan tetapi menyebabkan kesan negatif kepada hidupan lain. Maka, jelaslah bahawa ketidakseimbangan manusia mengeksploitasi khazanah bumi merupakan faktor berlakunya pemanasan global.

     Kesimpulannya, kemanusiaan yang semakin menipis, iaitu senipis kulit bawang ini merupakan faktor tercetusnya pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, setiap individu dan insan di dunia ini perlu memupuk semangat cinta akan alam sekitar agar bumi yang sedang sakit ini dapat dipulihkan semula. Diharapkan agar fenomena pemanasan global yang sedang melanda dunia sekarang ini akan berakhir dengan segera agar keselamatan dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan berkekalan. Pihak kerajaan pula perlulah lebih peka terhadap masalah global yang semakin bernanah ini malah perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat lebih prihatin dengan nasib bumi ini. Oleh itu, Mahatma Gandhi pernah berkata, “kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita, tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”.

Oleh Munirah bt. Ali Mohamed (6A2) Dipetik daripada: http://khirkassim.blogspot.com/

Tuesday 15 February 2011

Bentuk Ayat

Bentuk ayat bahasa Melayu terbahagi kepada dua seperti berikut;

1. Ayat tunggal; ayat tunggal ialah ayat ayat yang mengandungi satu subjek dan satu predikat.
 
    Contoh ayat tunggal.
a. Ali tampan. 

Dalam ayat ini Ali ialah subjek manakala tampan ialah predikat.  

2. Bentuk yang kedua ialah ayat majmuk.

Ayat majmuk terbahagi kepada 3 iaitu;
2.1 Ayat majmuk gabungan
2.2 Ayat majmuk pancangan.
2.3 Ayat majmuk campuran.

2.1.1  Ayat majmuk gabungan ialah ayat terdiri daripada 2 ayat atau lebih kemudian digabungkan menjadi ayat  majmuk gabungan dengan menggunakan kata hubung gabungan. Contoh kata hubung gabungan ialah dan, atau, tetapi, serta, sambil, lalu, lagi, serta dan sebagainya.

2 1.2 Namun begitu, penggunaan kata hubung yang berbeza menghasilkan dua jenis gabungan iaitu;
a. Ayat majmuk gabungan yang susunan faktanya berurutan. Ayat majmuk gabungan jenis ini menggunakan kata hubung dan, lalu, lagi, serta, sambil, dan malahan.

Contohnya seperti berikut;
i. Dia mengambil buku itu lalu masuk ke bilik tidur.

Ayat ini terdiri daripada dua ayat iaitu, ayat pertama  dia mengambil buku itu ayat kedua, dia masuk ke bilik tidur.

b. Ayat majmuk gabungan yang susunan faktanya bertentangan. Ayat majmuk ini memberikan pertentangan fakta. Antara kata hubung yang digunakan ialah atau, tetapi, sebaliknya, melainkan, dan padahal.

 Contoh
i. Musim hujan dingin, sebaliknya musim kemarau panas.
ii. Kain yang dibelinya itu mahal, padahal ada yang lebih murah.

2.2 Ayat majmuk pancangan.
Ayat majmuk pancangan ialah terdiri daripada ayat yang terdiri daripada satu ayat induk atau utama dan satu atau beberapa ayat kecil yang dipancangkan dalam ayat induk. Ayat induk boleh berdiri sendiri tetapi ayat kecil tidak.

2.2.1 Ayat majmuk pancangan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu;
2.2.1.1 Ayat majmuk Pancangan relatif
2.2.1.2 Ayat majmuk pancangan komplemen
2.2.1.3 Ayat majmuk pancangan keterangan.

2.2.1.1 Ayat Majmuk Pancangan relatif.
 Ayat majmuk pancangan relaatif ialah ayat majmuk yang menggunakan kata hubung pancangan yang menggunakan kaata hubung yang untuk memencangkan klausa kecil ke dalam klausa induk.

Contohnya seperti berikut,
Saya membaca buku yang ditulis oleh Othman Puteh.
Klausa induk: Saya membaca buku
Klausa kecil: Buku ditulis oleh Othman Puteh.

Saya membaca buku + buku ditulis oleh Othman Puteh.

Saya membaca buku yang ditulis oleh Othman Puteh.

Demikianlah bagaimana ayat majmuk pancangan relatif  dihasilkan. Pada masa akan datang saya akan bincangkan pula ayat majmuk pancangan komplemen dan ayat majmuk pancangan keterangan.

Sunday 13 February 2011

Contoh menulis perenggan isi

Cara Menulis Huraian isi
l  Tajuk karangan : Sejak akhir-akhir ini gejala sosial di kalangan remaja semakin membimbangkan. Institusi keluarga dikatakan mampu menangani masalah keruntuhan moral di kalangan remaja. Bincangkan.
l  Ayat Fakta :  Salah satu tanggungjawab yang harus dimainkan oleh institusi keluarga dalam membendung masalah sosial ialah memberikan pendidikan agama yang sempurna kepada remaja.
 Huraian 1 ( BILA ) :  Pendidikan agama hendaklah diberikan oleh keluarga sebelum seseorang meningkat remaja, seperti kata pepatah Melayu ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Huraian 2  ( MENGAPA? ) :  Pendidikan agama sangat penting diberikan kepada anak
anak kerana dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam masalah keruntuhan moral.
Huraian 3 ( APAKAH KESANNYA?) :
            Pendidikan agama yang sempurna membolehkan seseorang membuat pertimbangan sewajarnya dalam membezakan perbuatan yang baik dengan yang buruk.
Contoh/bukti :
            Pendidikan secara formal dengan menghantar anak-anak ke kelas agama mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Perenggan isi yang lengkap
Salah satu tanggungjawab yang harus dimainkan oleh institusi keluarga dalam membendung masalah sosial ialah memberikan pendidikan agama kepada para remaja. Pendidikan agama hendaklah diberikan oleh keluarga sebelum seseorang meningkat remaja, seperti kata pepatah Melayu ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Pendidikan agama sangat penting diberikan kepada anak-anak kerana dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam masalah keruntuhan moral. Antara bentuk pendidikan yang diberikan ialah secara formal dengan menghantar anak-anak ke kelas-kelas agama mengikut kepercayaan agama masing-masing.Kesannya, pendidikan agama yang sempurna membolehkan seseorang membuat pertimbangan sewajarnya dalam membezakan perbuatan yang baik dengan yang buruk.

Sunday 16 January 2011

Contoh Alih Bahasa Puisi

Pengungsi ( A. Wahab Ali)

Kau tinggalkan bumi suburmu
lalu kau mengongsi ke kota
kerana rindumu ada di bawah neon


Hatimu tiada di desa. Tapi
bukan gersang tanah
bukan kehilangan cinta


Kau gilai nafas kota
dari rayuan berita
kerana ingin dapat kerja
inginkan kehangatan udara


Tiada salahmu kalau
tanah desamu b erhutan
di sekolah kau bukan diajar berladang
Tiada salahmu kau ke mari
kerana kau bukan diajar bermimpi
sekolah bagimu zaman industri
mendapatkan kerja esok hari




Kau ke mari dengan harapan di hati
bukan desamu kekurangan ladang
kau ke mari dengan harapan kerja
hanya kerana kau sedar
hasil pulang bertambah kurang


Kau ke mari mengukur jalan
kerana ingin sangat punya pekerjaan
kau ke mari di tengah jalan
kota ini belantara pergelutan.

Contoh Alih Bahasa


Rangkap 1


Engkau meninggalkan bumi yang subur disebabkan keinginanmu untuk berhijrah ke kota. Engaku tertarik dengan keindahan di kota.


Rangkap 2
Engkau tidak berminat untuk tinggal di desa , bukan disebabkan tanah desa yang gersang atau engkau tidak cinta akan desamu.


Rangkap 3
Engkau amat mengimpikan hidup di kota kerana mendengar berita baik dari kota, dan ingin menikmati keseronokan yang ada di situ, di samping ingin mendapatkan pekerjaan.


Rangkap 4
Engkau tidak bersalah jika tanah di desam,u menjadi hutan kerana di sekolah engkau tidak diajar untuk berladang. Engkau tidak bersalah kerana ke bandar kerana engkau tidak diajar untuk hidup dalam mimpi (khayalan). Zaman persekolahan merupakan sektor perindustrian yang menjamin pekerjaan setelah tamat pengajian.


Rangkap 5
Engkau ke kota dengan harapan yang tinggi untuk mendapatkan pekerjaan, bukannya disebabkan desamu kekurangan tanah atau ladang. Engkau berhijrah ke kota kerana engkau sedar bahawa hasil di desa semakin berkurangan.


Rangkap 6
Engkau ke mari ibarat pe ngukur jalan, datang dari tempat yang jauh semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan. Walau bagaimanapun, hasratmu tidak kesampaian kerana hidup di kota sebenarnya penuh dengan persaingan.

Alih Bahasa Puisi

PANDUAN MENGALIH BAHASA TEKS PUISI

1. Mengalih bahasa teks berbentuk puisi sebenarnya lebih sukar berbanding teks-teks lain seperti teks klasik dan dialog.
2. Perekara yang perlu diberi perhatian oleh calon ialah jangan alih bahasa tidak boleh bersifat ulasan, intepretasi atau tafsiran. Tafsiran ini hanya perlu jika ia benar-benar perlu.
3. Alih bahasa harus ditulis mengikut urutan iaitu ayat demi ayat. Pastikan tiada fakta yang tertinggal. Baca dan fahami puisi sebelum menghasilkan alih bahasa untuk mengelakkan fakta atau kandungan teks terpesong.
4. Alih bahasa juga tidak seharusnya bersifat laporan atau penceritaan semula.
5. Jika puisi itu klasik dan kandungannya berkaitan dengan cerita golongan istana, kosa kata dan sistem panggilan bahasa istana mesti dikekalkan.
6. Laras bahasa yang dihasilkan mestilah benar-benar menunjukkan  laras bahasa prosa biasa, dan tiada unsur laras bahasa puisi.
7. Jika penyair menggunakan perkataan "aku"  dalam puisinya, perkataan yang boleh digunakan dalam alih bahasa yang dihasilkan ialah "penyajak" atau "penyair" atau perkataan "aku" itu sendiri.
8. Pastikan bahawa alih bahasa yang dihasilkan merupakan hasil yang utuh wacanannya, sama ada dari segi kandungan mahupun bahasanya. Ini untuk mengelakkan alih bahasa anda lemah dari segi pengolahannya.

Thursday 13 January 2011

JENIS-JENIS FRASA

LATIHAN PENGUKUHAN – BAHASA MALAYSIA KERTAS 1 STPM 2011
Perbincangan kumpulan.
1.       Nyatakan jenis-jenis  frasa  yang diberikan di bawah ini.             
2.       Kemudian, nyatakan golongan perkataan yang terdapat dalam  frasa tersebut.

1.       Setiap buah rumah       2.  pekerja itu         3.  tiga buah rumah  pangsa itu   4.  semua pasukan
5.  bahasa Latin          6.  kasut getah    7.   tepi pantai  8. harta kerajaan
9.    Orang itu                               10.  calon itu        11.   meja tulis     12.   orang lelaki
13. Kereta baharu ayah itu     14.  keluaran kasar  negara itu 
 15.   makan ayam goreng   15. menjalankan tugasnya   16. peladang itu       17.  berkebun kelapa  
18. menghadiahkan buku kepada Ali   19. Memasakkan tetamu makanan      20.  kereta api itu        
 21. bergerak laju        22. datang dengan bas  23. akan mengusahakan perniagaan di bandar    
24.  hendak membincangkan    25.   dalam seminar itu 27. sangat pandai        28.  binatang liar       
28.  terlalu nakal       29. kecil amat        30.  riang gembira 31. Masih agak kecil    32.  budak itu kerus      33. seperti  galah      34. dari Kota Kinabalu    35. diterima daripada kakak 36. diposkan kepada ibu.  
37.  ke Pekan Tenom

Tuesday 11 January 2011

Morfologi-: Kata tunggal

Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur kata, bentuk kata dan penggolongan kata Bahasa Melayu.
1.1  Bentuk kata
Terdapat 4 bentuk kata dalam bahasa Melayu iaitu;
1.1.1    kata tunggal
1.1.2    kata terbitan
1.1.3    kata majmuk
1.1.4    kata ganda.
1.1.1 Kata tunggal
Kata tunggal ialah perkataan yang tidak menerima sebarang imbuhan atau mengalami proses pembentukan kata seperti pengimbuhan, pemajmukan atau penggandaan.  Kata tunggal ini boleh terdiri daripada satu suku kata, dua suku kata, tiga suku kata, , empat suku kata, lima suku kata dan enam suku kata. Berikut merupakan contoh-contoh kata tunggal bahas Melayu.
Tin, sen, gred, draf, ela, emas, lampu, tempua, mentua, ilahi, ikhtiar, belimbing, terumbu, umpama, bijaksana, kelemumur, sentimeter, singgahsana, nasional, mesyuarat dan sebagainya.
Kata akronim juga tergolong dalam kata tunggal. Kata akronim ialah kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal, suku kata awal atau digabungkan mengikut sesedap sebutan. Contoh akronim ialah;
ABIM – Angkatan Belia Islam Malaysia,  Bernama _ Berita Nasional Malaysia, Kugiran –kumpulan gitar rancak, purata- pukul rata, cerpan- cerita pendek dan sebagainya.

Kesimpulannya, kata tunggal ialah perkataan yang tidak menerima sebarang imbuhan, tidak digandakan dan tidak pula terlibat dengan proses pemajmukan.

Pada post yang akan datang saya cuba bincangkan pula kata terbitan dalam bahasa Melayu.

Monday 10 January 2011

LATIHAN PENGUKUHAN MINGGU KE-2 BM 1 PRA-U INTELEK 2

Soalan Latihan Pengukuhan- Jenis-jenis frasa

Baca ayat-ayat yang diberikan di bawah, kemudian;
a) Nyatakan subjek dan predikat bagi setiap ayat yang berikut.
b) Nyatakan juga jenis-jenis frasa yang terdapat dalam ayat-ayat tersebut.

1. Encik Ahmad guru sekolah menengah.
2. Padi huma sedang menguning.
3.Kanak-kanak terbiar sungguh nakal.
4. Ibu pejabat syarikatnya di bandar raya Kuala Lumpur.
5. Bapa mereka sedang berehat.
6. Anak itu sihat sungguh.
7. Pejabat saya di Kuala Lumpur.
8. Anak orang itu sedang tidur.

Selamat menjawab. Jawapan soalan ini akan saya berikan minggu depan.

Sunday 9 January 2011

Karangan Bentuk Ceramah

Anda dikehendaki menulis ceramah yang bertajuk " Budaya Lepak Bertentangan Budaya Tempatan" . Ceramah itu disampaikan sempena sambutan Hari Belia  di tempat anda. Sediakan teks ceramah tersebut selengkapnya.

Contoh Karangan

Yang dihormati Tuan Pengerusi majlis, pemimpin-pemimpin belia daerah Tenom, tuan-tuan dan puan-puan, serta para belia yang hadir pada hari ini. Sebelum saya meneruskan ceramah saya ini, terlebih dahulu saya mengucapkan  ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mengundang saya ke majlis ini untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Budaya Lepak Bertentangan dengan Budaya Tempatan".
     Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
     Terlebih dahulu saya akan menjelaskan konsep budaya yang terdapat dalam masyarakat di negara kita. Kita akan melihat bagaimana budaya lepak menimbulkan kesan negatif dalam masyarakat kita. Budaya merupakan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakt. Budaya merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah perlakuan, tutur kata, cara berpakaian, ekonomi, politik dan sebagainya. Budaya lepak pula ialah budaya yang diamalkan oleh generasi muda, terutama di bandar-bandar besar. Lepak bermakna membuang masa tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat. Budaya ini diterima dari luar serta meninggalkan kesan negatif kepada masyarakat dan juga negara kita, terutama dalam kalangan generasi muda kita hari ini.
     Budaya lepak memang budaya negatif dan bertentangan dengan budaya tempatan. Mengapa saya mengatakan demikian? Hal ini demikian kerana budaya lepak mengajak remaja membuang masa di pusat beli-belah atau di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai tanpa arah dan tujuan. Dengan kata lain, budaya ini menganjurkan remaja kita membuang masa daripada melakukan kerja-kerja yang berfaedah untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Budaya masyarakat kita tidak pernah mengajar kita supaya membuang masa.; sebaliknya  budaya kita mengajar kita menghargai masa. dalam masyarakat Melayu ada pepatah yang berbunyi 'masa itu emas". Peribahasa ini mengambarkan kepada kita bahawa budaya kita menghendaki kita menghargai masa  dan bukannya menghabiskan masa di tempat-tempat tidak berfaedah. Oleh itu jelaslah bahawa budaya lepak ialah budaya negatif yang memesongkan kita daripada budaya yang sebenarnya.
    
Tuan-tuan dan puan-puan,
     Budaya lepak yang diamalkan oleh remaja kita juga bertentangan dengan budaya masyarakat negara kita. Dari segi pergaulan, budaya Timur atau budaya tempatan mengehadkan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Pendek kata tidak ada pergaulan bebas yang dibenarkan dalam budaya tempatan untuk mengelakkan perkara-perkara sumbang daripada berlaku dalam masyarakat.  Dalam budaya lepak yang diamalkan hari ini pula, pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan merupakan perkara yang menjadi amalan para belia dewasa ini. Konflik ini menyebabkan remaja lebih gemarkan mengamalkan budaya lepak  kerana mereka memperoleh keseronokan sehingga melanggar batas sosial yang telah ditetapkan dalam budaya kita. Kesannya, pasti negatif akibat pergaulan bebas yang diamalkan oleh generasi muda hari ini. Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini banyak kes pembuangan bayi berlaku akibat banyak remaja yang melakukan hubungan seks bebas dengan pasangan masing-masing. Perkara ini berlaku kerana kesan budaya lepak terhadap para belia hari ini.

Sidang majlis yang dimuliakan,
      Banyak remaja kini tidak menghormati orang-orang tua kerana mereka terpengaruh oleh budaya lepak. Mereka lebih gemar menggunakan kata-kata yang kasar dan tidak menghormati orang tua. Kata-kata kesat sering digunakan terhadap orang yang lebih tua daripada mereka. Akibatnya, banyak remaja kini sudah tidak mengenali nilai-nilai murni yang terdapat dalam budaya tempatan. Tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bahawa nilai kasar ini sebenarnya tidak terdapat dalam budaya kita. Kesannya ialah remaja kita semakin kurang ajar, biadab dan tidak mengamalkan nilai murni dan adab sopan dalam kehdiupan harian mereka. Perkara ini berlaku akibat pengaruh budaya lepak yang bukan sahaja diamalkan dalam kehdiupan harian mereka bahkan juga telah dijadikan sebagai pegangan hidup. 

Sidang majlis yang saya hormati,
     Budaya lepak juga menimbulkan kes jenayah dan kes maksiat. Banyak remaja dewasa ini melepak tanpa arah dan tujuan. Sekiranya remaja ini melakukan kerja-kerja yang berfaedah, sudah tentulah akan menguntungkan  diri mereka sendiri, masyarakat dan juga negara. Akibat melepak tanpa arah dan tujuan, banyak remaja kita hari ini terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti menghisap dadah, , mengedarkan dadah, , bohsia, memeras ugut, dan sebagainya. Rokok sudah menjadi simbol kedewasaan golongan ini. Namun rokok juga membawa kepada ketagihan dadah. Gadis remaja pula sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka begitu mudah dibawa oleh kenalan baru sungguhpun tidak mengenali latar belakang teman baru dengan mendalam. Oleh itu, terjadilah kes-kes hamil tanpa nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Ketenteraman masyarakat kita semakin terancam  oleh kes-kes ini. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
    Lepak juga merupakan kegiatan negatif yang membebankan  keluarga remaja berkenaan. Ibu bapa bersusah payah membesarkan anak-anak mereka dengan harapan agar anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna pada suatu hari kelak. Dengan ini, anak-anak diharapkan dapat meringankan bebang orang tua mereka. Diharapkan juga anak itu dapat menanggung kehidupan orang tuanya kelak. Malangnya yang dapat kita saksikan ialah  golongan ini menyebabkan ibu bapa risau akan mereka. Ibu bapa hampa dan kecewa apabila mendapati naka-anak mereka runtuh akhlaknya.
     Budaya lepak ini juga turut membebankan kerajaan. Operasi membanteras bohsia dan lepak  menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan wang pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya.  Kerajaan juga membelanjaakan jutaan ringgit untuk melancarkan Program Rakan Muda untuk membendung kegiatan ini. Alangkah baiknya sekiranya peruntukan ini disalurkan untuk tujuan lain daripada membazirkan wang untuk menangani gejala sosial ini. Lihat sahaja di sekeliling kita, baik di tapak pembinaan mahupun di ladang-ladang,. pekerja di situ kebanyakannnya terdiri daripada warga asing. Kemasukan pekerja asing ini menimbulkan pelbgai gejala sosial dan ekonomi. Tanpa budaya lepak, diyakini kekurangan tenaga buruh  sedikit sebanyak dapat diatasi.

Sidang hadirin sekalian,
     Berdasarkan penerangan yang telah saya berikan tadi, jelaslah bahawa budaya lepak bersifat negatif, tidak menguntungkan serta bertentangan dengan budaya tempatan. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita tidak mahu unsur negatif ini menular dalam diri anak-anak kita kerana gejala ini ibarat racun yang membunuh mangsanya tanpa disedari. Bagi para remaja pula, budaya ini harus dikikis terus. Oleh yang demikian, langkah-langkah tegas perlu  diambil untuk menghapuskan  budaya negatif ini daripada melanda masyarakat kita.

    Tuan-tuan dan puan-puan, setakat  ini sahaja ceramah saya untuk hari ini. Saya memohon ribuan maaf sekiranya ada terkasar bahasa semasa saya menyampaikan ceramah tadi. Akhir kata, selamat maju jaya kepada para belia di daerah ini. Sekian terim kasih.

                                                  (Dipetik daripada Buku Bahasa Melayu Kertas 2 STPM, muka surat 93-94, terbitan Pearson Malaysia SDN. BHD, Cetakan 2004)

    

Menulis Karangan Bahasa Melayu STPM Kertas 2

Panduan Menulis Karangan
1. Untuk menghasilkan karangan di peringkat STPM calon perlu memilih satu daripada 4 tajuk karangan yang diberikan.
2. Calon dinasihatkan supaya memperuntukkan nsatu jam setengah untuk menulis karangan.
3. Panjang karangan adalah antara 650-700 patah perkataan.
4. Bilangan isi karangan sekurang-kurangnya 5 isi, minimum. Boleh menulis lebih daripada 5 isi tetapi karangan itu hendaklah tidak melebihi bilangan perkataan yang diminta dalam soalan. Jika tidak, markah tidak akan diberikan kepada karangan yang melebihi had yang diminta.
5. Pastikan karangan anda melebihi 650 patah perkataan untuk mengelakkan penolakan markah jika karangan tidak mencapai 650 patah perkataan.

Karangan Berformat.
1. Sebelum menulis karangan calon perlu memahami kehendak soalan terlebih dahulu. Pastikan karangan yang hendak ditulis itu berformat atau tidak. Antara karangan yang tergolong sevagai karangan berformat ialah ceramah, memorandum, dan  laporan. Karangan yang tidak berformat termasuklah karangan jenis pendapat, perbincangan, penjelasan terhadap sesuatu isu dan sebagainya.