Sunday, 9 January 2011

Karangan Bentuk Ceramah

Anda dikehendaki menulis ceramah yang bertajuk " Budaya Lepak Bertentangan Budaya Tempatan" . Ceramah itu disampaikan sempena sambutan Hari Belia  di tempat anda. Sediakan teks ceramah tersebut selengkapnya.

Contoh Karangan

Yang dihormati Tuan Pengerusi majlis, pemimpin-pemimpin belia daerah Tenom, tuan-tuan dan puan-puan, serta para belia yang hadir pada hari ini. Sebelum saya meneruskan ceramah saya ini, terlebih dahulu saya mengucapkan  ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana mengundang saya ke majlis ini untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Budaya Lepak Bertentangan dengan Budaya Tempatan".
     Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
     Terlebih dahulu saya akan menjelaskan konsep budaya yang terdapat dalam masyarakat di negara kita. Kita akan melihat bagaimana budaya lepak menimbulkan kesan negatif dalam masyarakat kita. Budaya merupakan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakt. Budaya merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah perlakuan, tutur kata, cara berpakaian, ekonomi, politik dan sebagainya. Budaya lepak pula ialah budaya yang diamalkan oleh generasi muda, terutama di bandar-bandar besar. Lepak bermakna membuang masa tanpa melakukan sesuatu yang bermanfaat. Budaya ini diterima dari luar serta meninggalkan kesan negatif kepada masyarakat dan juga negara kita, terutama dalam kalangan generasi muda kita hari ini.
     Budaya lepak memang budaya negatif dan bertentangan dengan budaya tempatan. Mengapa saya mengatakan demikian? Hal ini demikian kerana budaya lepak mengajak remaja membuang masa di pusat beli-belah atau di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai tanpa arah dan tujuan. Dengan kata lain, budaya ini menganjurkan remaja kita membuang masa daripada melakukan kerja-kerja yang berfaedah untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Budaya masyarakat kita tidak pernah mengajar kita supaya membuang masa.; sebaliknya  budaya kita mengajar kita menghargai masa. dalam masyarakat Melayu ada pepatah yang berbunyi 'masa itu emas". Peribahasa ini mengambarkan kepada kita bahawa budaya kita menghendaki kita menghargai masa  dan bukannya menghabiskan masa di tempat-tempat tidak berfaedah. Oleh itu jelaslah bahawa budaya lepak ialah budaya negatif yang memesongkan kita daripada budaya yang sebenarnya.
    
Tuan-tuan dan puan-puan,
     Budaya lepak yang diamalkan oleh remaja kita juga bertentangan dengan budaya masyarakat negara kita. Dari segi pergaulan, budaya Timur atau budaya tempatan mengehadkan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Pendek kata tidak ada pergaulan bebas yang dibenarkan dalam budaya tempatan untuk mengelakkan perkara-perkara sumbang daripada berlaku dalam masyarakat.  Dalam budaya lepak yang diamalkan hari ini pula, pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan merupakan perkara yang menjadi amalan para belia dewasa ini. Konflik ini menyebabkan remaja lebih gemarkan mengamalkan budaya lepak  kerana mereka memperoleh keseronokan sehingga melanggar batas sosial yang telah ditetapkan dalam budaya kita. Kesannya, pasti negatif akibat pergaulan bebas yang diamalkan oleh generasi muda hari ini. Tidak hairanlah sejak kebelakangan ini banyak kes pembuangan bayi berlaku akibat banyak remaja yang melakukan hubungan seks bebas dengan pasangan masing-masing. Perkara ini berlaku kerana kesan budaya lepak terhadap para belia hari ini.

Sidang majlis yang dimuliakan,
      Banyak remaja kini tidak menghormati orang-orang tua kerana mereka terpengaruh oleh budaya lepak. Mereka lebih gemar menggunakan kata-kata yang kasar dan tidak menghormati orang tua. Kata-kata kesat sering digunakan terhadap orang yang lebih tua daripada mereka. Akibatnya, banyak remaja kini sudah tidak mengenali nilai-nilai murni yang terdapat dalam budaya tempatan. Tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bahawa nilai kasar ini sebenarnya tidak terdapat dalam budaya kita. Kesannya ialah remaja kita semakin kurang ajar, biadab dan tidak mengamalkan nilai murni dan adab sopan dalam kehdiupan harian mereka. Perkara ini berlaku akibat pengaruh budaya lepak yang bukan sahaja diamalkan dalam kehdiupan harian mereka bahkan juga telah dijadikan sebagai pegangan hidup. 

Sidang majlis yang saya hormati,
     Budaya lepak juga menimbulkan kes jenayah dan kes maksiat. Banyak remaja dewasa ini melepak tanpa arah dan tujuan. Sekiranya remaja ini melakukan kerja-kerja yang berfaedah, sudah tentulah akan menguntungkan  diri mereka sendiri, masyarakat dan juga negara. Akibat melepak tanpa arah dan tujuan, banyak remaja kita hari ini terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti menghisap dadah, , mengedarkan dadah, , bohsia, memeras ugut, dan sebagainya. Rokok sudah menjadi simbol kedewasaan golongan ini. Namun rokok juga membawa kepada ketagihan dadah. Gadis remaja pula sanggup menggadaikan maruah diri. Mereka begitu mudah dibawa oleh kenalan baru sungguhpun tidak mengenali latar belakang teman baru dengan mendalam. Oleh itu, terjadilah kes-kes hamil tanpa nikah, pembuangan bayi dan sebagainya. Ketenteraman masyarakat kita semakin terancam  oleh kes-kes ini. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
    Lepak juga merupakan kegiatan negatif yang membebankan  keluarga remaja berkenaan. Ibu bapa bersusah payah membesarkan anak-anak mereka dengan harapan agar anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna pada suatu hari kelak. Dengan ini, anak-anak diharapkan dapat meringankan bebang orang tua mereka. Diharapkan juga anak itu dapat menanggung kehidupan orang tuanya kelak. Malangnya yang dapat kita saksikan ialah  golongan ini menyebabkan ibu bapa risau akan mereka. Ibu bapa hampa dan kecewa apabila mendapati naka-anak mereka runtuh akhlaknya.
     Budaya lepak ini juga turut membebankan kerajaan. Operasi membanteras bohsia dan lepak  menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan wang pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya.  Kerajaan juga membelanjaakan jutaan ringgit untuk melancarkan Program Rakan Muda untuk membendung kegiatan ini. Alangkah baiknya sekiranya peruntukan ini disalurkan untuk tujuan lain daripada membazirkan wang untuk menangani gejala sosial ini. Lihat sahaja di sekeliling kita, baik di tapak pembinaan mahupun di ladang-ladang,. pekerja di situ kebanyakannnya terdiri daripada warga asing. Kemasukan pekerja asing ini menimbulkan pelbgai gejala sosial dan ekonomi. Tanpa budaya lepak, diyakini kekurangan tenaga buruh  sedikit sebanyak dapat diatasi.

Sidang hadirin sekalian,
     Berdasarkan penerangan yang telah saya berikan tadi, jelaslah bahawa budaya lepak bersifat negatif, tidak menguntungkan serta bertentangan dengan budaya tempatan. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita tidak mahu unsur negatif ini menular dalam diri anak-anak kita kerana gejala ini ibarat racun yang membunuh mangsanya tanpa disedari. Bagi para remaja pula, budaya ini harus dikikis terus. Oleh yang demikian, langkah-langkah tegas perlu  diambil untuk menghapuskan  budaya negatif ini daripada melanda masyarakat kita.

    Tuan-tuan dan puan-puan, setakat  ini sahaja ceramah saya untuk hari ini. Saya memohon ribuan maaf sekiranya ada terkasar bahasa semasa saya menyampaikan ceramah tadi. Akhir kata, selamat maju jaya kepada para belia di daerah ini. Sekian terim kasih.

                                                  (Dipetik daripada Buku Bahasa Melayu Kertas 2 STPM, muka surat 93-94, terbitan Pearson Malaysia SDN. BHD, Cetakan 2004)

    

4 comments:

  1. best.. tapi kalau boleh nak tengok jugak format ceramah.. ape yang kene ade dalam ceramah... boleh memudahkan untuk buat...

    ReplyDelete
  2. Agak bagus..terima kasih kerana sudi share
    seperti yg diminta lau blh minta share formatnya sekali
    terima kasih byk2

    ReplyDelete